topbella

Wednesday, September 29, 2010

Kala aku kesempitan dan ingin mengeluh, aku malu....


Hidup ini penuh dengan asakan. Aku tahu yang itu. Aku juga diuji dengan 1001 mehnah dan tribulasi. Kadangkala rasa macam hendak mengalah, kadangkala rasa suka untuk berhenti. Tetapi setiap kali aku ingin mengibar bendera putih, sesuatu muncul di dalam hati.
Rasa malu.
Malu dengan siapa?
Dengan Allah.
Kenapa?
Di sini aku hendak bercerita....


Ada waktu-waktu aku kesempitan. Macam-macam datang menerjah. Pernah markah peperiksaanku tidak sebaik yang kuhajatkan. Pernah aku kemalangan. Pernah juga aku kehilangan wang akibat kelalaianku..
Waktu itu rasa sangat sempit. Rasa macam lebih mudah jika aku menjerit-jerit dan menangis.
Tetapi setiap kali perasaan itu muncul, aku malu sendiri.
Tiba-tiba akan muncul satu rasa, mengingatkan aku akan hari-hari gembira. Kala aku mendapat markah yang tinggi-tinggi dan dipuji serta dikagumi lagi digeruni. Kala aku melihat orang lain kemalangan manakala aku lega selamat daripada diuji. Kala aku bahagia dengan wang yang banyak anugerah Ilahi. Bahkan kadangkala, tika aku diuji dengan kesempitan, tetap wujud kelapangan di kala itu dengan bicara pujuk sahabat, serta bantuan-bantuan selepas kesempitan.
Kuhitung dan kuhitung.
Aku jadi malu.
Oh, saat aku lapang itu banyak. Dan belum tentu kesempitanku hari ini, penutup gembiraku di masa hadapan nanti. Lantas aku malu. Kepada Dia yang memberikan aku sedikit kesempitan, agar aku belajar menghargai erti kelapangan. Dengan nikmatNya yang menggunung banyak, aku malu kerana terlintas di dalam jiwaku rasa ingin mengeluh dengan apa yang diaturkan.
Maka aku tidak jadi mengeluh. Kerana aku malu.
Kala orang mengeji dan aku ingin melenting memarahi, aku malu
Ada waktu-waktu aku dikeji. Lebih menyakitkan hati apabila mereka itu tidak aku kenali, dan mereka juga tidak benar-benar mengenali diri ini. Memang rasa bengang tahap tertinggi. Rasa ingin dicili-cili mulut mereka nanti. Kerana ada kejian mereka, ditambah pula dengan cerita-cerita yang ditambah reka, diexaggeratekan, memang ada waktunya boleh menganggu perjalanan hidupku.
Tapi setiap kali waktu marah itu tiba, dan aku ingin meletupkan sangkakala, aku akan teringat bahawa Allah mengurniakanku sahabat-sahabat yang baik, yang sentiasa menenangkanku dan menyenangkanku. Yang sentiasa percaya kepadaku dan selalu memandu serta mendidikku.
Afikah, zur ain, niza, mira, bainun, kak wani dan ramai lagi. Yang baik denganku, yang menghargaiku, yang menjiwaiku, yang memahamiku.
Aku jadi malu kerana dengan kewujudan orang yang mengeji, aku hendak melupakan nikmat-nikmat Allah yang lain kepadaku.
Mengapa aku hendak marah? Mengapa aku perlu melenting?
Bukankah Allah hanya menguji sedikit supaya aku mendidik diri untuk bermuhasabah?
Bukankah Allah hanya menguji sedikit supaya aku belajar lebih menghargai sahabat-sahabat yang indah, yang wujud di sisi aku?
Membanding-banding kejian orang dan kebaikan sahabat-sahabatku, nyata kebahagiaan itu lebih banyak. Bahkan, tatkala orang mengejiku, aku jadi lebih erat dengan sahabat-sahabatku.
Aku malu.
Maka aku menahan amarahku. Maka aku seka air mataku.
Kerana aku malu kepadaNya yang memberikan kebahagiaan yang banyak kepadaku.
Kala aku ingin putus asa dan kecewa, aku jadi malu
Ada waktu, aku macam rasa tak berguna hidup ni. Rasa tak bermakna langsung. Rasa macam hendak berhenti. Rasa macam nak give up. Kadang-kadang menangis rasa macam minta untuk dihentikan semua benda. Rasa macam nak throw away segala-gala.
Tapi kala itu, aku akan teringat segala kasih sayangNya. Yang luas itu. Yang tak ada sempadan itu. Aku akan teringat keberadaanNya yang amat dekat denganku.
Aku jadi malu.
Aku banding-banding masalah yang ada padaku, dengan nikmat-nikmatNya.
Uh. Tidak terkira.
Aku hitung-hitung masalahku dengan kasih sayangNya.
Uh. Aku terasa.
Aku malu.
Akhirnya aku tidak jadi kecewa. Aku bangkit semula. Teruskan kerja-kerja. Bukan manusia yang mengira, sebab itu kalam manusia tidak bermakna buatku. Aku hidup untuk Dia. Dia yang memberikan aku segala-gala.
Jadi aku terus bekerja, tanpa mengucup putus asa.
Akhirnya, aku tidak pernah jumpa akan alasan untuk bermukah dari cintaNya
Bila aku susah, aku ingat aku ada Dia. Dia dah bagi banyak kesenangan pada aku. Dan Dia terus memberinya. Sampai bila Dia tarik sikit, uji sikit, aku jadi malu untuk mengeluh-ngeluh dan merungut-rungut.
Bila wujud orang yang mengeji dan membenci, aku ingat aku ada Dia. Dia bagi padaku sahabat yang baik, yang mencintai dan memahami. Sampai saat bila datang kejian atau makian, aku jadi malu untuk ambil peduli dan menyemarakkan benci.
Bila aku ada rasa hendak berputus asa dengan kehidupan yang penuh mehnah dan tribulasi ini, aku ingat aku ada Dia. Dia bagi aku nikmat yang tidak terkira banyaknya. Hingga aku tidak terhitung. Dia sayang aku dengan sayangNya yang tiada tepiannya, hingga aku tidak mampu memeluk. Maka bila sampai saat aku rasa hendak berputus asa, aku jadi malu untuk berhenti dari berusaha.
Aku malu, untuk bermukah dari cintaNya.
Maka di sini aku berdiri.
Bermusuh dengan kesusahan.
Kebal dengan makian.
Menyah jauh putus asa dari kehidupan.
Kerana aku malu dengan Dia.
Dan malu aku itu, menghalang dari segala kejatuhan.

0 comments: